"ما صحبك الا من صحبك وهو بعيبك عليم و ليس ذالك الا مولاك الكريم خير من تصحب من يطلبك لا لشيء يعود منك اليه."
"KAWAN sejatimu adalah sahabat yang mengetahui aibmu. Tak lain Dia adalah Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Sebaik-baik sahabat adalah yang tidak mengharap keuntungan daripadamu."
-- Syeikh Ibnu Atha'illah, Al-Hikam.
Syeikh Abdullah Asy-Syarqawi menjelaskan bahawa tak ada yang menjadi sahabatmu dengan sebenar-benarnya, kecuali Dzat yang memberimu kebaikan. Dia sangat mengetahui aib dan cela mu, tapi dia tidak pernah terhalang untuk mendekatimu dan menjadi sahabat bagimu dalam keadaan apa pun.
Padahal Dia sangat mengetahui semua perincian aibmu. Yang mahu berteman seperti itu hanya Tuhanmu Yang Maha Mulia. Seperti itulah persahabatan kaum Sufi dan orang-orang Arif yang memiliki akhlak dengan sifat-sifat Tuhannya.
Adapun orang yang menemanimu dengan kebodohannya, dia bukanlah sahabat sejati, kerana dia tidak kuasa melihat kekurangan dan aibmu. Dia tak akan mampu bersabar menanggungnya, meskipun bersabar pasti ada maksud dan tujuan yang diinginkannya.
Maka sebaik-baik sahabat sejati adalah orang yang tidak menuntut apa pun daripadamu. Seperti itulah persahabatan Tuhanmu atau orang-orang yang berakhlak seperti akhlak-Nya.
Sedangkan orang yang bersahabat denganmu kerana kebaikanmu dan manfaat yang kau berikan kepadanya, sungguh dia bukanlah sahabat sejati kerana tujuannya hanya menunaikan keperluannya sendiri yang diharapkan daripada dirimu. Namun jika tujuan itu telah terlaksana, dia akan meninggalkanmu.
Renung-renungkanlah dan fikir-fikirkanlah!!!
0 zmn org suka mengomen:
Catat Ulasan