“Ketahuilah, wahai hamba-hamba yang dikasihi Allah, sesungguhnya para guru kaum sufi telah membangunkan kaedah-kaedah ajaran sufi di atas prinsip ketauhidan yang benar. Mereka menjaganya daripada bid’ah; mendekatkannya dengan tauhid yang mereka perolehi daripada para salaf dan ahli sunnah.
Ajarannya tidak mengandungi unsur tasybih mahupun ta’thil. Mereka mengerti apa yang menjadi hak Allah Zat Yang Mahadahulu. Mereka memahami benar ‘ketiadaan’ yang menjadi karaktor dasar makhluk. Oleh kerana itu, seorang guru kaum sufi, Imam al-Junaid, (semoga Allah selalu merahmatinya) berkata, “Tauhid adalah pengesaan Tuhan yang Mahadahulu oleh makhluk ciptaan-Nya.”
Kaum sufi menguatkan dasar-dasar keyakinan akidah mereka dengan dalil-dalil yang jelas dan bukti-bukti yang kuat. Dalam hal ini Imam Ahmad bin Muhammad al-Jariri — (semoga Allah merahmatinya) — berkata, “Barangsiapa belum menguasai ilmu tauhid berserta argumen-argumennya, maka telapak kaki yang tertipu pasti akan tergelincir ke dalam kerosakan hawa nafsu.”
Ertinya, barangsiapa yang hanya memastikan taklid dan tidak berusaha merenungi argumen-argumen tauhid, dia akan menyimpang dari jalan yang dapat menyelamatkannya dan tertawan di lembah kerosakan.
Sedangkan bagi orang yang mahu merenungi pernyataan-pernyataan para guru sufi lalu mengamatinya dengan saksama, secara keseluruhan mahupun sebahagiannya, maka ia akan menjumpai sesuatu yang menjadi kuat dengan perenungannya, bahawa kaum sufi tidak dapat melalaikan hakikat kebenaran dan tujuan akhir dan mereka tidak akan dapat mengalami peningkatan rohaniyah (mi’raj) dalam pencariannya dengan berpijak pada kelalaian.”
— Risalah Al-Qusyariyah, Imam Al-Qusyairi An-Naisaburi.
0 zmn org suka mengomen:
Catat Ulasan