TIDUR memang misteri. Sebahagaian sufi mampu menjadikan tidur sebagai zikir. Tapi, hatinya tetap terjaga dan sedar bahawa dia sedang bertawajjuh kepada ALLAH. Namun bagi salik, memperbanyak tidur dan tidak berzikir justeru hanya menimbulkan sifat malas, serta dapat melalaikannya daripada amalan-amalan sunah di malam hari, seperti solat dan zikir.
Penjelasan dan nasihat Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani qaddasallahu sirrahu tentang mengurangi kebiasaan tidur dapat menjadi pelajaran berharga. Ini adalah riyadah yang harus dijalani para salik.
Beliau mengatakan:
"Barangsiapa yang memilih tidur dan mengalahkan hal-hal yang dapat menyebabkan keterjagaan, sungguh dia telah memilih sesuatu yang paling kurang, paling rendah, pertemuan dengan kematian, serta melalaikan seluruh kemaslahatan.
Kerana sesungguhnya, tidur adalah saudaranya kematian. Kerana alasan inilah, sifat tidur itu tidak boleh melekat pada Zat ALLAH SWT, kerana di dalamnya terdapat semua sifat-sifat kekurangan.
Begitu juga para malaikat, kerana kedekatan mereka kepada ALLAH SWT, maka sifat tidur dinafikan dalam diri mereka. Begitu juga penghuni syurga, kerana mereka berada di tempat yang paling tinggi, paling suci, paling berharga, dan paling mulia, maka sifat tidur juga dinafikan dari dalam diri mereka semua.
Barangsiapa yang makan sedikit daripada barang haram itu seperti orang yang makan barang yang halal, tetapi banyak dengan menuruti hawa nafsunya. Kerana sesungguhnya, barang yang haram itu akan menutupi keimanan dan membuatnya menjadi gelap, sebagaimana arak itu dapat menutupi akal dan membuatnya menjadi gelap.
Apabila keimanan sudah menjadi gelap, tidak akan ada lagi solat, ibadah, dan keikhlasan yang baik. Barangsiapa makan barang halal dalam jumlah yang banyak kerana adanya perintah, dia seperti orang yang makan barang halal dengan jumlah sedikit, dan kuat menunaikan ibadah.
Barang yang halal itu ibarat cahaya di dalam cahaya. Adapun barang yang haram itu ibarat kegelapan di dalam kegelapan. Tidak ada kebaikan di dalamnya. Makan makanan yang halal dengan menuruti hawa nafsu tanpa adanya perintah dan makan makanan yang haram itu dapat menyebabkan cepat tidur. Dengan demikian, tidak ada kebaikan di dalamnya.”
--- Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Futuhul-Ghaib.
0 zmn org suka mengomen:
Catat Ulasan