Jumaat, 17 Januari 2020

Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah mengatakan bahawa :

"Di antara akhlaknya para Solihin ialah mereka menyerahkan segala urusan diri mereka, anak-anak mereka serta Ahli keluarga mereka kepada Allah taala."

Urusan pembelajaran serta penyusunan kehidupan anak-anak mereka serahkan sepenuhnya kepada Allah taala. Jika mereka meletakkan bahawa anak-anak mereka akan menjadi serta berjaya jika mereka yang menyusun masa depan anaknya maka Allah taala akan menguji mereka dengan anak-anak mereka sendiri. Anak-anak terkadang tidak menjadi seperti yang mereka inginkan.

Para Ulama lebih-lebih lagi diuji dengan perkara ini. Ini kerana mereka sering mengajarkan kepada Ummat tentang penyerahan sepenuhnya kepada Allah taala dalam segala urusan. Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah sendiri mengatakan bahawa beliau diuji dengan anaknya Abdul Rahman yang sangat tidak berminat dengan Ilmu. Pada suatu malam beliau diberi ilham oleh Allah taala untuk berdoa dan menyerahkan urusan anaknya kepada Allah taala. Seketika itu juga dilihat anaknya Abdul Rahman mula memegang kitab dan keesokkannya menghadiri Majlis para Ulama sehingga akhirnya beliau menjadi salah seorang Ulama pada zamannya.

Al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah juga menjelaskan kenapa anak-anak sebahagian para Ulama terkadang tidak mengikuti jalan para bapa mereka berbeza dengan anak-anak orang biasa yang bersungguh-sungguh menuntut Ilmu. Kata beliau : " Ini kerana anak-anak ini lahir dalam keadaan melihat bapa mereka telah dimuliakan, maka mereka tidak perlu bersusah payah mencari kemuliaan tersebut. Cukup berpada dengan kemuliaan bapanya.

Berbeza dengan anak-anak petani dan masyarakat biasa, mereka lahir dalam keadaan melihat ayahnya tidak dimuliakan seperti dimuliakan para Ulama. Malah terkadang dihina dan dipermainkan. Maka mereka perlu mencari kemuliaan. Tidak ada kemuliaan yang lebih besar dibandingkan Ilmu. Maka mereka lalu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu sehingga beroleh kemuliaan"

Saya berkata: " Terkadang kita menjadi hairan, kenapa sebahagian anak-anak para Ulama, para Ustaz bersikap dengan sikap yang tidak menggambarkan bahawa mereka adalah anak orang-orang yang mulia?

Maka kenyataan al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah ini memberikan gambaran jelas terhadap perkara tersebut. Ini ujian dan teguran daripada Allah taala agar mereka kembali menyerahkan urusan keluarganya kepada Tuhan Yang membolak-balikkan hati hambaNya.

Saya setelah bertemu dengan kenyataan ini di dalam kitab Tanbihul Mughtarrin karangan al-Imam Abdul Wahhab al-Sya'rani rahimahullah maka setiap kali berdoa saya akan menyebut bahawa saya menyerahkan urusan anak-anak kesayangan saya ini kepadaNya. Dia lebih mengetahui mana yang terbaik untuk hambaNya."

Semoga anak-anak Kita sentiasa dipandang dengan pandangan Kasih oleh Allah taala dan Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Moga mereka selamat di zaman mereka yang penuh dengan cabaran dan fitnah.
Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari

0 zmn org suka mengomen:

TeRhAnGaT

get this widget here

nyinggoh borok ngekek

mai la slalu

Blog Archive

TerHangiTTT

SuaM KukU

tutorial kongsi panduan untuk beginner easy rider

sharing is caring bio sampei garing  utk sapa yg nak join geng kangkang@ketiak nampak